BEKAS peserta pertandingan Dewi Remaja 2015/2016, Puteri Aishah menjelaskan bahawa hubungan dia dan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, 37, buat masa ini hanya sekadar kawan biasa.
Puteri atau nama sebenar Puteri Aishah Sulaiman, 22, berkata dia mengenali Pengerusi Eksekutif, Naza World Group of Companies ini menerusi kawan baiknya bernama Yana yang juga merupakan sepupu kepada ahli perniagaan tersebut.
“Saya kenal SM Faisal menerusi kawan baik saya iaitu Yana. Kami memang dah kenal lama dan saya rapat dengan keluarga dia.
“Manakala Yana dan Faisal pula sepupu dekat dan kebetulan masa kami keluar bersama, dia ada ajak Faisal sekali. Dari situ saya kenal dan berkawan dengan dia.
“Sejujurnya, memang tidak ada hubungan istimewa pun sebab kami baru berkawan,” kata Puteri kepada mStar Online.
Menurut Puteri lagi, tujuan dia memuat naik foto dan video Instastory bersama Faisal di Instagramnya kerana tidak mahu menyorokkan apa-apa daripada orang luar.
Dalam pada itu, Puteri berharap peminat tidak salah faham dengan pengkongsian tersebut.
“Saya tak nak sorok apa-apa daripada peminat dan apa yang saya kongsi bukan nak tunjuk yang kami ini bercinta atau pasangan kekasih.
“Saya harap selepas ini tidak ada yang salah faham lagi. Wanita di luar sana masih ada peluang untuk mengenali dan mendekati Faisal,” katanya.
Puteri memuat naik foto dan video bersama Faisal di laman Instagramnya pada Ahad dantelah menarik perhatian netizen.
Malah, Faisal juga ada berkongsi video bersama pelakon wanita tersebut di laman sosialnya.