JUARA Akademi Fantasia (AF) 2016, Amir, mengaku kejayaan yang diraih menerusi program realiti berkenaan belum mampu untuk segera menjulang namanya dalam industri seni suara tanah air.

Amir atau nama penuhnya Amir Syazwan Masdi, 20, berkata sejak keluar daripada akademi terbabit, beliau belum berupaya mencipta nama bersama lagu sulung, Pemilik Cinta.

Begitupun Amir enggan mengalah, sebaliknya akan terus berusaha sehingga dirinya dapat duduk sebaris dengan penyanyi terkenal lain.

“Saya sudah bersedia menghadapi saat ini sejak tamat AF 2016. Saya cukup sedar, berada dalam industri ini memang ada naik dan turunnya. Malah, saya tidak pernah kecewa dengan kedudukan sekarang.

“Bagi saya, tidak semua perkara akan datang secara bergolek. Mungkin saya terpaksa mengambil jalan yang jauh dan berusaha lebih keras untuk berjaya di arena nyanyian,” katanya.

Beliau sedar single pertaruhannya, Pemilik Cinta, ciptaan Sri Kandi dan lirik oleh Hang Nadim yang disampaikan pada peringkat akhir AF 2016 kurang mendapat sambutan di radio.

Pada masa sama, Amir terpaksa bersaing dengan bakat baharu seperti Aiman Tino, Sufian Suhaimi dan Tajul Arif yang lebih menonjol bersama lagu masing-masing.

Namun begitu, Amir tidak pernah iri hati dengan populariti yang diraih penyanyi muda lain.

“Semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing. Lagu bukanlah faktor utama untuk menempa nama, tetapi ia tetap memainkan peranan penting dalam melonjakkan populariti seseorang penyanyi.

“Apabila lagu sering diputarkan di radio, secara tidak langsung si penyanyi akan lebih dikenali. Saya pula perlu akur apabila Pemilik Cinta kurang dimainkan di radio walaupun bagi saya, ia sebuah karya yang mesra pendengar. Namun, saya akui lagu itu tidak cukup kuat dan seterusnya sukar untuk bersaing dengan karya lain.

“Malah jika diikutkan juga, genre lagu itu bukanlah jiwa saya yang sebenar. Saya lebih sukakan lagu yang berentak balada dan rock. Jadi, saya harap untuk single kedua nanti, saya mendapat lagu yang lebih sesuai,” katanya yang merancang penghasilan lagu baharu untuk pasaran tahun 2017.

Bakat muda ini tidak ketinggalan menyusun perancangan tersendiri bagi memastikan namanya tidak terus tenggelam dibawa arus. Kata Amir, beliau lebih aktif di laman sosial untuk terus berinteraksi dengan peminatnya.

“Saya banyak menyanyikan lagu penyanyi lain di YouTube untuk terus dekat dengan peminat. Daripada komen yang diterima, saya sedar peminat terus menyokong dan teguh berdiri di belakang saya,” katanya.

Amir berasakan beliau juga patut mencuba cabang seni lain untuk mengembangkan lagi bakatnya. Namun buat masa ini, Amir berkata, sebelum terjun ke bidang lain, beliau mahu fokus terlebih dulu kepada nyanyian. Apatah lagi dirinya masih begitu hijau dalam arena berkenaan.

“Lakonan bukanlah pilihan utama yang mungkin saya lakukan. Lagipun, saya tidak bersedia dengan komitmen penggambaran yang selalunya mengambil masa yang panjang. Selain itu juga, apabila berlakon, tentunya ada babak bersentuhan dengan pelakon wanita lain. Saya belum bersedia melakukannya.

“Begitupun jika diberi peluang, saya ingin menceburi bidang pengacaraan atau sebagai penyampai radio. Saya lihat dua bidang ini lebih sesuai dengan karakter diri ini,” katanya.

INFO:

Nama Penuh: Amir Syazwan Masdi

Umur: 20 Tahun

Asal: Kajang, Selangor

Pendidikan: Pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Elektrikal, Uniten, Bangi

Pencapaian: Juara Akademi Fantasia 2016

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *